
JOHOR BAHRU 3 Jan. – Hanya 10 hingga 15 peratus masyarakat Islam di negara ini sedar dan membuat pengurusan harta pusaka bagi mengelakkan timbul masalah dalam kalangan ahli keluarga selepas meninggal dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif As-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed, kebanyakan daripada mereka adalah dalam lingkungan umur 45 hingga 50 tahun.
Menurutnya, peratusan yang kecil itu disebabkan kurangnya pengetahuan dan maklumat berhubung perkara tersebut selain tidak tahu saluran yang tepat bagi menguruskannya.
“Masih ramai masyarakat kita tiada perancangan yang baik dan rapi dari segi pengurusan harta pusaka sehingga menimbulkan masalah di kemudian hari termasuk perselisihan faham ahli keluarga,” katanya selepas merasmikan cawangan As-Salihin Trustee Berhad Melaka/Johor di Taman Setia Tropika di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus cawangan as-Salihin Trustee Berhad Melaka/Johor, Mohd. Hairulazlan Ramlan.
Pembukaan cawangan yang menelan kos RM120,000 itu merupakan yang pertama bagi syarikat yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor sejak tujuh tahun lalu.
Ia adalah sebuah syarikat amanah yang berperanan memenuhi keperluan masyarakat Muslim dalam memelihara, melindungi dan mengagihkan harta mengikut prinsip syariah.
Antara perkhidmatan yang sediakan adalah perkhidmatan penulisan wasiat, pelantikan sebagai wasi, pentadbiran harta pusaka, pemegang amanah, deklarasi harta sepencarian serta deklarasi hibah.
Bagi mengelakkan masalah timbul selepas kematian waris, kata Abdul Aziz, pelantikan pihak pengurusan harta pusaka dilihat sebagai langkah terbaik bagi melindungi hak waris dengan adil.
“Pihak pengurusan harta pusaka berperanan menyediakan khidmat nasihat tentang pembahagian harta pusaka kepada waris yang ditinggalkan dan secara tidak langsung pengagihan harta pusaka boleh dilaksanakan secara adil,” katanya. – utusan malaysia





